KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini menambah koleksi pingat apabila meraih dua kilauan emas dan tiga gangsa daripada enam acara karate Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang dipertandingkan hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Malaysia mengutip emas pertama menerusi acara kumite wanita bawah 55kg apabila Syakilla Salni Jefry Krisnan menewaskan Trang Cam Lanh dari Vietnam dengan mata 3-0.
Kutipan emas diteruskan lagi menerusi acara kumite lelaki bawah 75kg menyaksikan kemenangan bergaya 7-0 ketika atlet negara R. Sharmendran menentang Chu Duc Thinh dari Vietnam.
Malaysia turut meraih tiga pingat pingat gangsa bagi acara kumite lelaki bawah 55kg, kumite wanita bawah 68kg dan kumite lelaki atas 75kg menerusi S.Prem Kumar, M. Mathivani dan A. Somanroy.
Mengulangi rekod kutipan emas sebelum ini di Sukan SEA Myanmar (2013) dan Sukan Asia di Incheon, Korea, Syakilla Salni berkata kemenangan atlet negara dalam acara lain pada KL2017 menjadi pembakar semangat kepada beliau untuk turut sama menyumbang pingat emas kepada negara.
“Saya gembira sekali dengan pencapaian ini dan saya tujukan khas kepada diri sendiri, keluarga, jurulatih serta semua yang tidak berhenti menyokong saya dalam sukan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Sementara itu, Sharmendran pula menyifatkan kemenangan itu sebagai pelengkap kepada hasil usaha yang dijalankan selama ini tanpa mengenal erti putus asa.
“Saya berbangga dengan pencapaian ini memandangkan karate sentiasa dilabel sebagai lubuk emas setiap kali berlangsungnya Sukan SEA,” katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan turut hadir memberi sokongan dalam aksi melibatkan peserta negara itu. – BERNAMA