SEREMBAN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Bukit Galah, berdekatan Kampung Orang Asli Tekir, Batu 10, Labu dekat sini semalam, dijumpai pukul 2 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Pegawai Kanan Bomba, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mangsa yang berusia 21 tahun itu ditemui kepenatan di celah pokok.
“Ketika ditemui oleh pasukan bomba, keadaan mangsa nampak lemah kerana telah sesat selama 19 jam dan buat masa ini pihak kami sedang membawa mangsa turun,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata berdasarkan maklumat awal, mangsa yang dikenali sebagai Cheong Ann Guey, telah mendaki bukit itu bersama dua rakannya dan terpisah ketika hendak turun dari bukit berkenaan.
Beliau berkata operasi menyelamat disertai seramai 43 anggota daripada unit Operasi Taktikal Khas dan Penyelamat (STORM) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Balai Bomba Seremban 2, Balai Bomba Nilai dan pasukan polis.
Ahmad Mukhlis berkata mangsa akan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.- BERNAMA