KUALA TERENGGANU – Tindakan sebuah syarikat jualan langsung yang menjalankan perniagaan tanpa lesen mengundang padah apabila dua unit mesin layan diri milik syarikat itu yang bernilai RM80,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu dalam satu operasi petang semalam.
Mesin layan diri untuk membasuh kereta dan membeli makanan serta minuman itu masing-masing bernilai RM40,000.
Pengarahnya, Azlan Abdul Samat berkata mesin layan diri itu digunakan syarikat jualan langsung itu sebagai ‘umpan’ untuk mengambil duit dari orang ramai kononnya sebagai pelaburan.
“Syarikat yang beribu pejabat di Shah Alam, Selangor itu baru sahaja beroperasi di Terengganu di mana sasaran mereka ialah usahawan dan penjawat awam.
Walaupun baru beroperasi di negeri ini, lebih 20 individu telah tertipu dengan pelaburan ini yang melibatkan transaksi sebanyak RM700,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Modus operandi syarikat itu ialah mengiklankan peluang untuk menjana pendapatan secara dalam talian melalui aplikasi Facebook, WhatsApp dan WeChat sebelum menghubungi pelanggan yang terpilih supaya menghadiri seminar yang diadakan di hotel-hotel sekitar negeri ini.
Azlan berkata pihaknya menerima aduan dari orang awam dan hasil siasatan mendapati syarikat itu tidak memiliki lesen jualan langsung dengan urusniaga yang meragukan.
Beliau berkata syarikat itu juga menyediakan pelan pemasaran bagi mesin layan diri itu seperti risalah perniagaan, kain pemidang, sijil dan baucar percutian bagi menarik pelanggan.
“Syarikat tersebut meyakinkan pelanggan kononnya mesin-mesin layan diri tersebut akan diletakkan di tempat tumpuan ramai seperti di Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta, hotel dan lokasi perumahan yang ramai penduduk.
Setiap pelanggan yang berminat dikehendaki membayar wang pendahuluan manakala bakinya boleh dibuat secara ansuran atau secara pinjaman dengan syarikat atau mana-mana institusi perbankan,” katanya.
Beliau berkata namun pelanggan hanya menyedari diri mereka tertipu apabila gagal menerima mesin layan diri yang dijanjikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Selain Terengganu, syarikat itu juga telah beroperasi di beberapa negeri lain sebelum ini termasuk Melaka, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.
Azlan berkata syarikat itu melakukan kesalahan di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) yang mana jika sabit kesalahan, syarikat itu akan dikenakan tindakan dan didenda sebanyak RM1 juta.
“Saya juga berharap orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mempercayai sebarang tawaran pelaburan dengan keuntungan meragukan kerana ini semua adalah taktik syarikat untuk mengaut keuntungan,” katanya. – BERNAMA