PETALING JAYA – Selepas kecundang kepada Malaysia pada aksi separuh akhir, skuad bola sepak Indonesia bertekad menutup saingan bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan merangkul kilauan pingat gangsa.
Pembantu ketua jurulatih Indonesia, Bima Sakti berkata segala persiapan menjelang perlawanan tempat ketiga dan keempat menentang finalis edisi 2015 Myanmar di Stadium Selayang esok berjalan dengan sangat lancar.
“Semua pemain mempunyai tujuan yang sama iaitu meraih pingat gangsa. Kesempatan berehat dua hari ini telah digunakan sebaiknya untuk kami memantapkan lagi mutu permainan pasukan.
“Apa yang pasti setiap pemain berada dalam keadaan yang bermotivasi untuk turun bertanding esok dan prestasi pasukan juga sangat baik. Tiada seorang pemain pun yang berada dalam kondisi yang tidak baik, semua bersemangat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media praperlawanan tempat ketiga dan keempat di sini, hari ini.
Sementara itu, pertahanan Indonesia Gavin Kwan Adsit berkata rata-rata rakan sepasukannya sudah melupakan episod duka pada pusingan separuh akhir untuk memberikan sepenuhnya tumpuan terhadap perlawanan esok.
“Kami sudah tentu sedih dan kecewa kerana tidak dapat meneruskan misi mendapatkan pingat emas tapi kami semua sudah melupakan kekalahan tersebut, jadi fokus kami sekarang adalah untuk menyumbangkan sesuatu kepada negara Indonesia,” kata pemain berusia 21 tahun berasal dari Bali itu.
Untuk rekod, Indonesia dibelasah 0-5 oleh Vietnam dalam perlawanan tempat ketiga dan keempat pada edisi Sukan SEA 2015 di Singapura. – BERNAMA