Friday, July 19, 2024

Creating liberating content

Ainul Mardhiah Sambut Ulang...

KUALA LUMPUR - Bayi yang mencuri tumpuan ramai, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin menyambut...

Mahkamah Rayuan Putuskan Guan...

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim...

Penjawat Awam Ketagih ‘Game...

MELAKA - Isu ketagihan permainan dalam talian dilihat semakin bertambah serius sejak kebelakangan...

Pele Dimasukkan Semula Ke...

SAO PAULO, Brazil: Legenda bola sepak Brazil, Pele dimasukkan semula ke hospital bagi...

Kembara Haji Bertemu Rakyat Malaysia Berbasikal

KASHGAR CITY, (China) – Anggota Ekspedisi Kembara Inspirasi Haji begitu terkejut dan pada masa yang sama merasa gembira apabila bertemu seorang rakyat Malaysia sedang berbasikal di lebuh raya Lian Huo atau dikenali sebagai G30 minggu lalu.

Dia menyayuh di tengah-tengah cuaca panas pada 31 Julai.

Dia dikenali sebagai rakyat Malaysia apabila anggota kembara yang menaiki dua pacuan empat roda melepasinya dan terlihat Jalur Gemilang kecil tertegak di belakang basikalnya Le Run.

Anggota kembara lalu menyuruhnya berhenti. Rupa-rupanya dia ialah Teo Yong Keat, 26, dari  Bukit Tinggi, Klang, Selangor yang dalam perjalanan memenuhi impiannya untuk ke Sepanyol.

Teo ketika ditemui dalam perjalanan menuju Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang sementara anggota kembara yang memulakan perjalanan untuk ke tanah suci pada 18 Julai lalu sedang menuju bandar raya Kumul di wilayah yang sama.

Kedua-dua pihak lalu rancak bertukar-tukar cerita dan maklumat mengenai pengembaraan  masing-masing.

Teo dijangka tiba di Sepanyol dalam tempoh setahun sejak mula mengayuh pada  1 Mac.

Dia berkata dia tidak membawa banyak beban hanya barangan keperluan penting sambil berhenti untuk bermalam di tempat dia rasa sesuai.

“Saya membuat kawan di sepanjang perjalanan dan kini saya berbasikal bersama seorang rakan dari China yang menemani saya di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Bekas arkitek ini berkata dia mula bercadang untuk mengembara lima tahun lalu tetapi mendapat tentangan ibu bapanya, namun selepas terus dipujuk, mereka akhirnya melepaskannya.

“Saya selalu berhubung dengan mereka setiap dua hari kerana saya merindui mereka dan mereka juga merindui saya. Mereka tahu saya mampu mengurus dan menjaga diri saya,” katanya.

Ditanya mengapa Sepanyol menjadi pilihannya, Teo berkata: “Saya suka mengembara dan Sepanyol berada paling hujung di Eropah.”


Dia sebelum ini berada di Thailand, Laos dan Kemboja.

Cuaca panas di China ketika ini tidak menjadi penghalang baginya.

“Saya perlu minum banyak air dan walaupun kadang-kadang cuaca menjadi terlalu sukar, saya masih teruja untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Antara pengalaman manisnya  ialah apabila sami Buddha di Thailand menawarkan makanan yang mereka kumpul  pada hari itu kepadanya.

Bagi memastikan keselamatannya, dia akan menukar kedua-dua tayarnya pada setiap 5,000 kilometer di samping hanya mengayuh pada siang hari dan berhenti pada waktu malam terutama di lebuh raya yang gelap tanpa lampu.

Sebelum sampai ke Sepanyol, Teo antara lain perlu melalui Asia Tengah, Turki dan beberapa negara Eropah.

Pengarah Projek Kembara, KhirAriffin turut gembira dapat bertemu Teo yang juga berhasrat memenuhi impian pengembaraannya.

“Kita berharap Teo akan berjaya memenuhi impiannya dan membuat Malaysia berbangga,” katanya.

Ekspedisi Kembara Inspirasi Haji telah membuat lebih daripada 9,000 kilometer perjalanan dengan 7,000 kilometer lagi harus diteruskan sebelum sampai di Dubai untuk menamatkan perjalanan ke Jeddah menerusi pesawat bagi melakukan ibadah haji September ini. – BERNAMA

Kategori