SEMALAM baru sahaja namanya disebut-sebut kerana lontaran vokal yang padu semasa menyanyikan lagu Gemilang di Majlis Penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Hari ini, nama Jaclyn Victor sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila mengumumkan satu berita yang cukup mengejutkan!
Menerusi laman Instagram, penyanyi bersuara lantang ini telah memberitahu kepada pengikut-pengikutnya yang dia baru sahaja melahirkan anak kedua pada 24 Ogos lalu.
“Mungkin anda tidak percaya yang saya baru melahirkan seorang anak pada Khamis lalu, genap seminggu hari ini,” tulisnya.
Menariknya, baby girl yang baru seminggu lahir ini berkongsi tarikh lahir dengan abangnya, Jonah Joshiah Rivera.

“Mereka dilahirkan pada tarikh yang sama, 24 Ogos tetapi beza dua tahun. Mereka kelihatan seperti kembar,” tulisnya lagi.
Jaclyn juga ada memuat naik beberapa gambar lain selepas posting berita yang mengejutkan itu. Gambar ketika berada di hospital selepas selamat melahirkan puterinya.
Yang paling mencuri tumpuan ialah gambarnya yang sedang sarat mengandung sehari sebelum dia bersalin.

“Senaman terakhir sebelum saya bersalin dan gambar ini adalah bukti saya mengandung.. Hahahahaha!!
“Yalah.. kita tak buat pengumumankan?” tulisnya.
Rata-rata peminatnya mengucapkan tahniah di atas kelahiran ‘orang baru’ dalam keluarga kecil itu.
Jaclyn Victor, 38, telah berkahwin dengan bintang R&B Amerika Syarikat, Shawn Rivera, 43, pada 19 Julai 2014 di Philadelphia, Amerika Syarikat. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim