KUANTAN – Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Rosdi Ismail hari ini, mengetuai 120 kakitangan dan pegawai jabatan itu menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen menolak amalan tidak berintegriti.
Turut menyaksikan majlis itu ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang Datuk Alias Salim. Jabatan itu menjadi agensi dan jabatan ke-25 di negeri ini yang menandatangani ikrar itu.
Rosdi dalam ucapannya berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang sangat komited dalam memerangi rasuah sama ada di peringkat jabatan, pejabat pendidikan daerah atau sekolah.
“Merujuk kepada statistik SPRM, sepanjang tempoh 2013 sehingga 2017 SPRM telah mengambil tindakan dan menjalankan siasatan melibatkan pembukaan 392 kertas siasatan, kertas pemeriksaan awal dan kertas risikan yang melibatkan jabatan pendidikan seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, terdapat 23 tangkapan dan 10 pertuduhan di mahkamah yang melibatkan pegawai JPN. Walaupun angka ini nampak kecil tapi impaknya adalah sangat besar kerana mencalarkan nama Kementerian Pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, Rosdi berharap warga JPN Pahang akan membudayakan elemen integriti dan ikrar yang dilafazkan sentiasa tersemat di hati serta menjadi amalan semasa melaksanakan tugasan harian mereka. – BERNAMA