PENYANYI yang popular dengan lagu Seribu Tahun, Imran Ajmain memberitahu pernah berasa rimas apabila sering diminta untuk menyanyikan lagu tersebut.
Walau bagaimanapun katanya, dia sedar lagu tersebut merupakan satu-satunya lagu yang membuatkan orang mengenalinya selama berada dalam industri ini.
“Pernah ada masa saya tidak boleh terima bila diminta untuk menyanyikan lagu Seribu Tahun sahaja di mana-mana persembahan sedangkan saya sudah ada tiga album.
“Saya juga pernah menolak untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Tetapi bila saya mula menyanyi, saya sedar ramai yang mula berhenti makan, beri perhatian dan ambil gambar.
“Saya kemudiannya rasa bersyukur kerana mempunyai lagu yang menjadi kegamaran orang ramai,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Imran, dia tidak akan berhenti menyanyikan lagu Seribu Tahun malah dia akan menyelitkan lagu-lagu baharu di setiap persembahannya bersama lagu tersebut.
Menjawab tentang dirinya menyertai program realiti nyanyian, Imran menyifatkan dirinya bukan seorang pesaing dan lebih memilih untuk berkarya dalam keadaan yang tenang.
“Saya belum terfikir untuk menyertai pertandingan nyanyian kerana saya bukanlah seorang yang suka bersaing.
“Saya mahu lagu saya sampai dan dirasi pendenar. Bukan saya takut denga tekanan tetapi saya mahu berikan yang terbaik kepada pendengar,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC

