KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia akan berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka melebihi lima peratus pada 2017, mengatasi 4.2 peratus pada 2016, kata Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd., Datuk Seri Nazir Razak.
Beliau berkata, bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi global yang berhati-hati pada separuh kedua tahun ini akan mengehadkan trajektori menaik.
“Pengumuman KDNK sebanyak 5.8 peratus baru-baru ini menunjukkan momentum ekonomi yang kukuh,” katanya kepada pemberita di luar Siri Meja Bulat ASEAN mengenai Pengukuhan Pasaran Modal di ASEAN: Peluang dan Cabaran di sini, hari ini.
Nazir berkata, pasaran utama, termasuk Amerika Syarikat, China dan lain-lain ekonomi telah menunjukkan pemulihan pertumbuhan pada separuh pertama 2017.
“Kita mempunyai jumlah komoditi yang tinggi dan sebagainya, semua ini mendapat manfaat daripada pemulihan dunia yang serentak,” katanya.
CIMB mengekalkan unjuran KDNK pada 5.1 peratus bagi tahun ini, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN CIMB, Tan Sri Dr. Munir Majid berkata pertumbuhan yang dicatatkan pada suku kedua itu adalah sangat memberangsangkan.
Beliau berkata, bagaimanapun, negara sewajarnya tidak leka dengan prestasi tersebut.
“Pencapaian itu adalah sangat menggalakkan, bagaimanapun, terdapat golongan muda yang belum memperolehi pekerjaan atau mendapat kerja yang baik namun masih perlu membayar pinjaman pendidikan mereka dan berdepan kos sara hidup, malah ada yang membuat dua kerja untuk memenuhi keperluan.
“Justeru itu, banyak lagi isu yang mesti ditangani. Angka agregat (pertumbuhan KDNK) adalah baik memandangkan ia memberi keyakinan dalam ekonomi, menjana pelaburan dan menjadi faktor selesa, yang amat perlu,” katanya.
Selain itu ketika ditanya mengenai prestasi ASEAN, Munir berkata, Filipina merekodkan pertumbuhanKDNK 6.5 peratus walaupun dengan pelbagai isu politiknya.
“Kita perlu memikirkan pertumbuhan masa hadapan ASEAN, yang mungkin berkembang dalam bentuk dan hala tuju berbeza memandangkan pengaruh China.”
Beliau berkata, Malaysia, yang mempunyai pendapatan dan kepelbagaian sumber yang kukuh, merupakan ekonomi terbesar selepas Indonesia dan Thailand dalam ASEAN. – BERNAMA