REMBAU – Jabatan Perikanan hari ini mencatat rekod baharu negara apabila melepaskan lebih satu juta benih udang galah dengan anggaran nilai RM120,000 ke perairan Sungai Timun di sini hari ini.
Wakil daripada Malaysia Book of Records, Muhammad Shukri menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut hadir pada majlis yang direkodkan sebagai pelepasan benih udang terbanyak berjumlah 1,139,472 ekor.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata program pelepasan ikan dan udang merupakan program tahunan jabatan itu bagi memastikan kemakmuran dan kelestarian sumber perikanan di perairan negara ini agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Kita memilih Sungai Timun kerana terkenal dalam kalangan pemancing. Melihat kepada trend pendaratan udang galah yang semakin berkurangan sejak tahun 2011 iaitu sebanyak 3.52 tan metrik kepada 0.61 tan metrik pada 2015, maka menjadi tanggungjawab jabatan ini memulihara dan meningkatkan sumber udang galah di perairan ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Pangkalan Nelayan Sungai Timun di sini.
Katanya selain menambah stok ikan sungai yang semakin berkurangan akibat penangkapan ikan yang tidak terkawal dan pencemaran sungai, program pelepasan benih ikan dan udang ini dapat meningkatkan sosioekonomi nelayan dan penduduk setempat serta mendidik masyarakat untuk menghargai sungai.
“Kami berterima kasih kepada pihak Syarikat Tg. Utara yang sudi menyumbang benih udang galah berkenaan. Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu untuk bersama-sama menjaga sumber perikanan.
“Sekiranya kadar hidup benih udang adalah 10 peratus, dianggarkan sebanyak 3.3 tan metrik hasil dengan nilai RM233,000 akan diperoleh.
“Syarikat Tg. Utara merupakan tempat penetasan benih udang galah yang beroperasi di Pasir Panjang, Port Dickson dan mampu menghasilkan sebanyak dua hingga tiga juta ekor untuk satu pusingan. Dengan adanya pusat penetasan ini, kekurangan benih udang galah di Negeri Sembilan dapat diatasi.
“Sehingga kini juga, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan telah melepaskan benih ikan pelbagai spesies sebanyak 150,000 ekor dengan anggaran nilai RM50,000,” katanya.
Katanya statistik pengeluaran udang galah melalui sistem ternakan akuakultur menunjukkan bahawa Negeri Sembilan telah menyumbang sebanyak 32.12 peratus daripada pengeluaran udang galah Malaysia dan menjadi negeri kedua terbesar selepas Perak.
Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM50,000 bagi program pelepasan benih ikan di seluruh negeri pada tahun ini.
Katanya Jabatan Perikanan telah merancang sebanyak 10 program pelepasan benih ikan pelbagai spesies tempatan di seluruh perairan sungai Negeri Sembilan bagi meningkatkan sumber perikanan yang saban tahun semakin berkurangan dan diancam kepupusan.
“Sekurang-kurangnya 600,000 ekor benih ikan dengan anggaran nilai RM170,000 akan dilepaskan tahun ini. Program seperti ini akan ditambah sekiranya kita mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
“Selain itu, kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi pengeluar makanan utama untuk negeri sekitar khasnya dalam sektor perikanan,” katanya. – BERNAMA