KUALA LUMPUR – Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur (MJSASKL) hari ini bergema dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran dan sesi tadabur (penjelasan) ayat-ayat terpilih pada acara ‘Gema Wahyu’ yang berlangsung hari ini.
Hadirin mula memenuhi dewan solat utama masjid sejak pukul 4 petang untuk bersama-sama menyertai acara julung kali diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.
Program dimulakan pada 5 petang dengan slot ‘Gema Tadabur’ dipimpin Pencetus Ummah Yusof Arbain yang menceritakan pengajaran di sebalik ayat-ayat al-Quran terpilih daripada Surah Yasin.
Slot ‘Gema Wahyu’ pula menyaksikan alunan bacaan ayat suci al-Quran dipimpin Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2011, Ustaz Amir Rahman Abbas dan qari OKU penglihatan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.
Acara diteruskan dengan sesi ‘Sembang Santai’ bersama penyanyi Ameng Spring yang berkongsi kisah beliau mendekatkan diri dengan al-Quran sewaktu menjadi banduan.
Artis tanah air seperti Shamsul Ghau Ghau dan Johan As’ari turut bersama-sama dalam program itu dengan menyertai sesi ‘Jom Ngaji’ dipimpin Ustaz Tarmizi Abd Rahman.
Turut kelihatan, pelancong luar negara yang tertarik melihat penganjuran acara ini yang dianggap unik dan sangat istimewa.
Acara diakhiri dengan sesi berbuka puasa beramai-ramai puasa sunat Zulhijjah di perkarangan masjid yang baru diubah suai bertemakan Masjid An-Nabawi di Madinah.
Selepas selesai program, peserta bergerak ke Dataran Merdeka beramai-ramai untuk menyertai program Merdeka #QuranHour.
Penganjuran acara anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas ini selain dibantu kakitangan masjid, turut mendapat bantuan mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. – BERNAMA