SINGAPURA – Awas jika terima e-mel atau panggilan telefon yang mendakwa syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) konon menawarkan tiket percuma sempena ulang tahunnya yang ke-70.
Menurut laporan stesen Channel NewsAsia, SIA dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini semalam, mendakwa terdapat satu komplot penipuan yang cuba memperoleh maklumat peribadi para pelanggan setianya.
SIA menambah terdapat juga laman sesawang palsu yang kelihatan serupa dengan versi rasmi syarikat kebangsaan Singapura itu, selain panggilan telefon yang mendakwa konon petugas perkhidmatan pelanggan dari SIA.
Suspek kemudian memaklumkan kepada pelanggan terbabit bahawa mereka dipilih untuk menyertai satu cabutan bertuah atau sudahpun memenangi tiket penerbangan. Pelanggan kemudian diminta memberikan butiran peribadi.
“Untuk kelihatan (seperti syarikat yang) sah, pemanggil sedemikian malah dapat mengubah nombor telefon mereka supaya kelihatan sama dengan nombor rasmi telefon syarikat kami,” menurut SIA dalam kenyataannya itu.
“Kami menasihati pelanggan supaya berjaga-jaga apabila mendedahkan butiran peribadi kepada sumber yang tidak dapat dipastikan. Mesej, laman, kiriman e-mel dan panggilan telefon perlu dipastikan jika anda berasa ragu-ragu.”
SIA menambah pelanggan yang mahu mengesahkan kiriman e-mel, panggilan telefon atau aduan mengenai laman palsu boleh melakukannya menerusi ruang maklum balas di laman rasmi syarikat itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

