PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa 1 September depan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Awang Adek, 62, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan dari 2006 hingga 2013. Beliau kemudian melakar sejarah apabila bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dari 2014 ke 2016.
Menurut Ismail Sabri, beliau percaya pengalaman dimiliki Dr. Awang Adek akan membolehkan beliau memimpin MARA dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian demi mencapai objektif transformasi negara.
“Saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki beliau mampu memimpin Mara dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian ini demi mencapai objektif Transformasi Negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Awang Adek mengambil tempat yang ditinggalkan pengerusi sebelumnya, Tan Sri Annuar Musa yang pada 4 Ogos lalu, melahirkan hasrat untuk tidak menyambung kontraknya selepas memegang jawatan itu lebih empat tahun.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan korporat termasuk pernah dilantik sebagai Penolong Gabenor Bank Negara dari 1996 sehingga 2001 selain menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad.
Anak kelahiran Bachok, Kelantan ini juga pernah dipinjamkan kepada Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan sebagai Ketua Pengarah yang pertama selama dua tahun bermula pada tahun 1996.
Awang Adek mula bergiat serius dalam politik apabila dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok pada 2001 lalu dan diberi amanah untuk memegang jawatan Bendahari UMNO Kelantan sejak 2003.
Pada tahun itu juga, beliau dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Bachok dan menang tanpa bertanding jawatan tersebut pada pemilihan peringkat bahagian tahun ini.
Ketika Pilihan Raya Umum ke-10 pada 2004 Awang Adek telah diberi kepercayaan bertanding kerusi Parlimen Bachok dan berjaya menewaskan Wan Nik Wan Yusoff (PAS) dengan majoriti 6,272 undi.
Beliau berkahwin dengan Datin Latifah Mohd Yusof dan dikurniakan lima orang anak iaitu Abdul Aziz, Norjasara, Ahmad Azran, Nur Ain dan Nur Nadira. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA