KUALA LUMPUR – Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Marina Chin mengingatkan atlet agar memberi penekanan terhadap pematuhan peraturan dan mempunyai disiplin yang tinggi bagi memastikan mereka tidak dikenakan tindakan oleh persatuan masing-masing.
Merujuk kepada pengguguran atlet olahraga S. Komalam Shally pada saat akhir oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Marina menyifatkan tindakan itu sebagai wajar jika benar ia diambil atas faktor disiplin.
“Dalam pasukan mana sekalipun, kita ada SOP (Prosedur Operasi Standard) untuk disiplin dan sebagainya. Sekalipun anda berpotensi memenangi pingat, jika anda tidak berdisiplin dan tidak mematuhi garis panduan, persatuan berhak mengambil tindakan,” katanya.
Beliau percaya KOM telahpun meneliti perkara berkenaan dengan mendalam sebelum tindakan menggugurkan nama atlet tersebut dibuat.
Marina ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke sesi latihan pasukan boling padang di Pusat Boling Padang Nasional dan skuad bola jaring di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Marina berkata isu disiplin melibatkan dua atlet yang melanggar peraturan ketika berada di dalam kem latihan pusat akhir telah dirujuk kepada persatuan sukan yang berkenaan.
“Isu disiplin yang melibatkan dua atlet (semasa kem latihan pusat akhir) adalah tidak serius. Kejadian itu berlaku pada malam pertama dan kedua kem. Kita telah memberi amaran kepada kedua-dua atlet berkenaan dan isu itu (melanggar) disiplin itu sudah tidak berlaku lagi,” katanya.
Difahamkan bahawa dua atlet terbabit ialah daripada sukan badminton dan futsal.
Kontinjen negara kini sedang menjalani kem latihan pusat akhir bagi menghadapi temasya Sukan SEA ke-29 di Hotel Rennansance di sini yang bermula 4 Ogos lepas dan akan berakhir esok.
Hotel berkenaan akan menjadi penginapan rasmi kontinjen Malaysia semasa temasya sukan dwitahunan itu berlangsung.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya teah mendengar laporan daripada pengurus pasukan badminton Sukan SEA, Mat Rashid Jalil.
“Kami mendengar penjelasan daripada pengurus pasukan dan berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat.
“Tidak ada tindakan yang akan diambil. Kita mahu Goh Soon Huat fokus terhadap persediaan beliau dalam menghadapi Sukan SEA,” katanya yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia hari ini. – BERNAMA