RASA-RASANYA pendatang baru dalam industri tanah air boleh disamakan dengan peribahasa ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ baik dalam bidang lakonan mahupun bidang nyanyian.
Aishah Azman, satu nama baharu dalam bidang lakonan mengakui dirinya berasa bimbang jika ada pihak yang melabelkan dirinya pelakon ‘kayu’ dan tidak berpuas hati dengan mutu lakonannya.
Bagaimanapun, selepas mendapat reaksi positif daripada penonton terhadap drama-drama lakonannya, Aishah berasa bersyukur dan dihargai.
“Minta dijauhkan dengan gelaran ‘kayu’ itu. Jujurnya memang saya takut dengan label itu kerana ia mampu memberi impak negatif kepada karier saya.
“Tapi Alhamdulillah setakat ini belum ada yang panggil saya ‘kayu’ tetapi itu juga tidak boleh buat saya berasa selesa kerana kita tidak tahu apa akan terjadi kemudian hari.
“Apa yang boleh saya lakukan adalah terus berusaha dan belajar bagi memastikan setiap lakonan itu menjadi,” katanya dipetik laporan mStar Online.
Aishah yang memegang Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengakui course lakonan yang diambilnya semasa belajar banyak membantu dalam mendalami sesuatu watak.
Namun, adik kepada pelakon Afiq Muiz ini tidak segan silu mengakui mengambil kelas lakonan untuk memantapkan lagi lakonananya.

Memegang watak utama dalam drama bersiri Cinta Hati Batu membuatkan dirinya teruja dan menganggap ianya sebagai batu loncatan untuk dia membina nama dalam industri.
“Saya ambil peluang itu kerana ia rezeki apabila diberi kepercayaan oleh pihak produksi.
“Harus saya akui juga sedikit tertekan kerana watak diberikan agak berat kerana perlu banyak menangis dan bermain dengan emosi dalaman.
“Pun begitu saya anggap itu sebagai cabaran dalam memberikan yang terbaik,” katanya lagi.
Drama terbaru lakonannya turut menampilkan Ashraf Muslim dan Fadlan Hazim dan akan bersiaran di TV3 tidak lama lagi. Aishah sebelum ini pernah digandingkan bersama Nadmi Adhwa dalam drama Namaku Bedah. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim