KUALA LUMPUR – “Sekiranya begitu mudah Tun Dr. Mahathir Mohamad membohongi rakyat dulu atau sekarang, tiada ada apa yang menghalangnya untuk terus menghalalkan pembohongan sebagai strategi politiknya”.
Demikian peringatan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa kepada seluruh rakyat Malaysia terutama ahli UMNO berikutan serangan demi serangan dilancarkan Mahathir ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebagai contoh, katanya, Mahathir kini mengakui dirinya tidak memusuhi DAP sedangkan masyarakat dengan jelas dan nyata mengetahui beliau sentiasa melabelkan DAP sebagai rasis dan anti-Melayu semasa menjadi Perdana Menteri.
Selain itu, kata beliau, Mahathir tidak mengakui beliau pernah menegaskan bahawa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi pemimpin UMNO kerana kesalahan moral yang mengaibkan.
“Begitu juga tuduhan-tuduhan Mahathir terhadap campur tangan asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terbaru, kata Annuar, Mahathir memfitnah pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya memohon sokongan beliau untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Justeru, beliau mengingatkan setiap ahli UMNO supaya tidak terperangkap dengan strategi musuh khususnya Pakatan Harapan yang tidak sudah-sudah cuba mewujudkan keretakan dalam UMNO.
“Ia adalah satu lagi percubaan Mahathir untuk menanamkan syak wasangka dalam sanubari setiap ahli UMNO.
“Ia sepertimana Mahathir tanpa segan silu mendakwa RM42 bilion wang 1MDB hilang atau lesap yang bertujuan semata-mata mengapikan dan membangkitkan kemarahan ahli UMNO.
“Alhamdulillah, ahli UMNO tetap terus kental dengan istiqamah dan solidariti serta tidak mudah terpesong dengan tipu muslihat Mahathir,” katanya. – MYNEWSHUB.CCÂ