DARIPADA zaman pelawak diketepikan, tak dilayan, sampailah kini para pelawak semakin mendapat nama di persada seni tempatan dan antarabangsa, dua sahabat baik ini tetap setia bersama.
Kini, Dato’ AC Mizal dan Afdlin Shauki bakal membuka stesen TV mereka sendiri yang diberi nama Syiok TV.
Afdlin dan AC yang juga merupakan pelawak, pengacara dan penerbit ini juga telah mengumumkan pelancaran stesen tersebut pada 19 Julai lalu. Mereka berdua juga sedang giat mempromosikan stesen tv terbaharu mereka itu di akaun Instagram masing-masing.
Uji bakat pencarian pengacara dan pelawak juga telah dilakukan oleh mereka. Bagi pencarian pengacara telah pun berlangsung iaitu pada 29 Julai lalu. Belum terlambat lagi kalau anda seorang pelawak dan mahu mencuba nasib, boleh datang ke uji bakat tersebut di Comedy Planet KL pada 5 dan 6 Ogos ini.

Restoran Afdlim Shauki Comedy Planet juga dikatakan bakal menjadi lokasi official untuk Syiok TV. Segala program akan dijalankan di situ kerana restoran itu sudah pun menyediakan ruangan studio dan pentas untuk program di stesen tv tu nanti. Bagi yang tak tahu lagi, restoran ni terletak di tingkat 3, bangunan Great Eastern Mall di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Ia merupakan impian kami untuk mengadakan sebuah wadah yang memberikan kami kebebasan untuk memberikan kandungan kami sendiri.”
“Saya percaya langkah ini akan merevolusikan industri hiburan tempatan,” kata Afdlin semasa sidang media di Kuala Lumpur, menurut laporan The Star.
Lesen penyiaran syarikat itu akan digunakan di bawah nama AC sendiri. Tapi Afdlin dan AC masih tidak memberikan sebarang maklumat lanjut sama ada Syiok TV disediakan sebagai saluran percuma, berbayar mahupun khidmat online. Sama-sama kita tunggu pengumuman mereka yang seterusnya pada akhir tahun ini.
Kos yang besar sebanyak RM20 juta telah dibelanjakan bagi setiap saluran yang berada di bawah Syiok Media Network.

Bagi Afdlin yang sudah pun menapak di dalam industri hiburan selama lebih 20 tahun ini berpendapat bahawa industri tempatan kini makin lama makin bersikap tidak adil.
“Penerbit adalah penggerak industri ini. Tetapi mereka hanya dibayar dengan sedikit dan tidak memiliki hak kandungan yang terbitan mereka sendiri.”
“Hak tersebut milik stesen TV. Kini saya berfikir buat masa hadapan. Saya mahu lakukan sesuatu di mana hak milik penerbit dilindungi.”
“Hak harta intelektual tidak seharusnya dimilik stesen TV. Perubahan harus bermula dari Syiok TV. Kami berharap stesen-stesen yang lain akan ikut serta,” ulas Afdlin lagi ketika ditanya oleh pihak media.
Bagi permulaan pelancaran, Syiok TV akan memulakan satu siaran dulu buat masa ini. Yang lebih, kita tunggu dulu nanti.
Tambah Afdlin lagi ketika sidang media yang lalu, katanya isi kandungan stesen tv mereka ini lain daripada yang sedia ada sekarang.
“Para penonton boleh menjangkakan kandungan tidak seperti TV tempatan kini. Kami sedang meninjau kandungan bahasa Inggeris dan Melayu. Kami juga mendukung kandungan animasi buat golongan lebih dewasa dan sitcom Inggeris.”
Mereka juga bakal menayangkan filem mereka sendiri di Syiok TV. Jadi lepasni penonton tak perlu ke panggung, cuma tengok Syiok TV sahaja untuk tonton filem mereka.
AC Mizal juga dikatakan mempunyai banyak idea baru yang sedang dirancangnya untuk segmen berita. Tambahnya lagi, penambahan saluran-saluran baru itu bergantung kepada keuntungan yang bakal mereka dapat ketika pelancaran saluran pertama nanti.
“Rancangan kami sangat menarik. Sehingga kini, hanya mereka yang berfikiran berdasarkan perniagaan yang menggerakkan industri ini. Kali ini ia berbeza. Anda akan saksikan apa yang akan terjadi apabila mereka yang benar-benar minat mengenai industri ini mengambil alih,” kongsi Afdlin lagi.
Apa pun, tahniah dan semoga terus berjaya diucapkan kepada dua orang hebat ini. Semoga industri hiburan tempatan akan mendapat impak yang besar dengan kemunculan Syiok TV ni nanti.
Sama-sama kita nantikan pembukaan Syiok TV ini yang bakal muncul tak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah
*Video sekadar hiasan.
.

