Thursday, June 13, 2024

Creating liberating content

Dapatkan Xiaomi Mi Pad...

Xiaomi baru-baru ini telah mengemaskini laman rasmi mereka, di mana menyertakan tablet dalam...

‘Datuk Seri’ Serang Rela...

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa menyerang dan...

Jangan Beli, Ambil Produk...

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai tidak membeli atau mengambil...

Ronaldo Dedah Cerita Di...

MENJELANG kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 yang diadakan di Rusia pada...

2 Bekas Tentera Sertai Larian Muhibbah Merdeka

ALOR SETAR – Bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60, dua bekas anggota tentera, Krishnan Andy dan Nasir Abas akan memulakan Larian Muhibbah sejauh 500 kilometer (km) dari Alor Setar ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, esok.

Majlis pelepasan dari Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah yang bermula pukul 8 pagi itu akan turut disertai kira-kira 50 penyokong Krishnan dan Nasir.

Krishnan, 60, yang merupakan bekas tentera di Rejimen Askar Jurutera DiRaja dan kini berniaga sendiri berkata beliau teruja untuk menyertai larian ini terutamanya apabila mengetahui bahawa dia merupakan pelari kaum India pertama yang akan menyertai larian sempena Hari Kebangsaan.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai larian sejauh ini. Sebelum ini memang saya aktif berlari tapi dalam jarak antara 10 hingga 20km sahaja, jadi ini akan menjadi pengalaman yang bermakna dalam hidup saya,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Ditanya bagaimana beliau berminat untuk menyertai larian ini, katanya beliau telah terbaca sebuah majalah yang memaparkan kisah Nasir juga seorang bekas tentera yang sering mengadakan larian setiap kali menjelang Hari Kebangsaan atas semangat cintakan negara.

“Saya terbaca majalah yang memaparkan kisah Nasir pada bulan Mac lepas jadi saya telah menghubungi dan berjumpa dengannya (Nasir) pada bulan Mei dan memaklumkan hasrat ingin menyertai larian bersamanya pada tahun ini.

“Selepas dipersetujui, saya memulakan latihan setiap hari dengan berlari sejauh 15km pada waktu pagi dan 10km pada sebelah petang. Saya rasa yakin dapat menghabiskan larian nanti tanpa masalah kerana kondisi dan stamina berada pada tahap yang baik,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak berusia antara 24 hingga 30 tahun itu berkata keluarganya merupakan penyokong dan sumber kekuatan buat dirinya kerana sentiasa memberi galakan dan dorongan untuk menyertai larian ini.

Isterinya, Mariammal Rasu, 54, yang merupakan suri rumah juga sentiasa menjadi tulang belakang buat dirinya untuk terus kuat dan berlatih bagi menyiapkan diri untuk berlari selama 12 hari sebelum sampai ke Dataran Merdeka.


“Isteri selalu bagi sokongan dengan menemani saya berlatih…dia juga akan turut sama berlari tapi dalam jarak yang dekat sahaja iaitu sejauh 5km,” katanya.

Sementara itu, Nasir, 62, dari Taman Sri Putra, Kuala Kedah berkata ini merupakan larian kelima buat dirinya sempena Hari Kebangsaan dan kali pertama akan mengadakan larian Muhibbah bersama kaum lain.

“Pada mulanya, saya ingin libatkan pelari daripada kaum Cina tetapi atas sebab tertentu, hanya Krishnan sahaja akan menyertai saya dalam larian kali ini tetapi tidak apa semangat kami tetap kuat untuk menghabiskan larian.

“Saya harap mereka (golongan belia) dapat melihat usaha yang diperjuangkan saya dan Krishnan walaupun sudah bergelar warga emas kerana golongan belia kini dilihat semakin melupai erti sebenar kemerdekaan,” katanya.

Beliau yang merupakan imam Masjid Putra, Kuala Kedah berkata walaupun telah bersara daripada tentera pada 1998 selepas berkhidmat selama 21 tahun, semangat sayang dan cintakan negara masih kuat dan ia menjadi antara pendorong untuknya memulakan larian Hari Kebangsaan itu.

Nasir pernah mencatat nama dalam The Malaysia Book Of Records selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2002 kerana berjaya berlari sejauh 1,754km selama 30 hari di seluruh Semenanjung bermula dari Kelantan hingga Perlis dan pada 2003 atas kejayaannya berlari sejauh 2,068km dari Tawau, Sabah hingga Kuching, Sarawak selama 53 hari. – BERNAMA

Kategori