Sunday, June 16, 2024

Creating liberating content

10 Maut Dalam Serangan...

BEIRUT - Serangan di wilayah Afrin, utara Syria semalam mengorbankan 10 orang, kebanyakannya...

Bomba Selangor Periksa Pusat...

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor akan mengadakan...

‘Orang Beritahu Muhammad Damin...

Kuala Selangor : "Ada orang datang maklumkan arwah terkurung dalam tandas yang sedang...

Indeks Syariah Malaysia Bukan...

KUALA LUMPUR - Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang dilancarkan dalam usaha mengukur dan...

15,000 Mahasiswa Sertai Program Coca-Cola Ku

NILAI – Program Coca-Cola KU (Komuniti Usahawan) melalui KPDNKK yang dilancarkan April lepas, berjaya menarik penyertaan 15,000 mahasiswa dari seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mahasiswa terlibat merupakan sebahagian daripada 20,000 peserta program Coca-Cola KU, yang akan dilatih menjadi usahawan menjelang 2020.

“Di bawah program ini, Coca-Cola akan berkongsi ilmu bagaimana memulakan perniagaan, menyimpan rekod perniagaan, mengurus akaun dan sebagainya.

“Selain itu, peserta didedahkan dengan penggunaan teknologi terkini bagi membantu perniagaan mereka berjaya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Pengeluaran Coca-Cola di Bandar Enstek, dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Henry Sum Agung, dan Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investment Group Singapore-Malaysia-Brunei, Gareth McGeown.

Hamzah berkata, program ini telah dijalankan di 14 universiti awam seluruh negara, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata peserta program dipilih melalui permohonan yang dihantar kepada Coca-Cola.

“Apabila kami melihat mereka berpotensi, kami akan melawat mereka untuk memastikan mereka mempunyai hasrat untuk menjadi usahawan yang baik. Kemudian barulah kami membenarkan mereka menyertai program ini,” katanya.


Sementara itu, McGeown berkata, Coca-Cola KU adalah sebahagian pelaburan syarikat itu di Malaysia, untuk membantu masyarakat setempat menambah kemahiran dan pengetahuan untuk memaksimumkan sumber pendapatan.

“Apa yang kami harapkan dari pelaburan terhadap komuniti di mana kami mempunyai perniagaan adalah untuk meningkatkan pendapatan mereka, menyediakan lebih banyak pekerjaan dan merangsang pelaburan semula kepada masyarakat,” katanya.

Coca-Cola turut mempelawa rakan kongsinya, Uber dan Marrybrown untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dengan peserta bagaimana untuk memulakan jenama yang berjaya dan kekal relevan dalam situasi di mana keperluan pengguna sentiasa berubah.

Coca-Cola KU merupakan sebahagian iltizam global Coca-Cola bagi membolehkan ekonomi lima juta usahawan wanita diperkasa melalui rangkaian nilai syarikat menjelang 2020 melalui inisiatif “5by20”. – BERNAMA

Kategori