KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Yinson Holdings Bhd (YHB), akan menjual 26 peratus ekuiti dalam Yinson Production (West Africa) Pte Ltd (YPPL) kepada konsortium syarikat-syarikat diperbadan Jepun dengan harga antara US$104 juta dan US$117 juta (US$1 = RM4.29).
YPPL ialah unit milik penuh tidak langsung YHB menerusi Yinson Trillium Ltd dan Yinson Production Pte Ltd.
Bagi memudahkan penjualan itu, YHB telah memeterai Perjanjian Induk dengan konsortium yang termasuk Sumitomo Corporation, Kawasaki Kisen Kaisha Ltd, JGC Corporation, Development Bank of Japan Inc, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
“Perjanjian induk itu dimeterai dengan pemahaman YHB dan konsortium itu membentuk kerjasama menerusi YPPL berkaitan dengan kontrak bagi menyewa, operasi dan penyenggaraan kemudahan penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) oleh Eni Ghana Exploration and Production Ltd di Offshore Cape Three Point Block in Ghana,” kata syarikat itu.
FPSO itu, yang dinamakan sebagai FPSO John Agyekum Kufuor, menghasilkan minyak pertama pada 22 Mei, 2017. – BERNAMA