MENJELANG akhir bulan Syawal yang hanya tinggal beberapa hari lagi, pasti ramai kalangan kita yang masih bersuka ria menyambut bulan kegembiraan ini.
Bagaimanapun, malang bagi adik Nur Damia Nadhirah Shahrudin, 5 tahun; yang ditemui mati lemas di sebuah kolam terbiar dekat Kampung Sena, Kuala Nerang, Kedah.
Mayat kanak kanak malang itu dijumpai oleh orang awam yang kebetulan ternampak dua jasad kanak-kanak terapung di kolam tersebut. Mangsa ditemui kira kira pukul 6:50 petang semalam.
Bersama-sama mangsa, rakan sebayanya, Muhamad Rusyaidi Mohamad Na’am yang juga anak saudara pelakon terkenal, Hairee Othman, pula ditemui tidak sedarkan diri.
Jelas pemangku Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Amran @ Mohamad Zaki Omar, pihaknya telah menerima laporan petang semalam selepas orang awam terjumpa dua orang kanak-kanak tersebut.
Kedua-dua mangsa telah pun dihantar ke Hospital Kuala Nerang sebelum proses bedah siasat dilakukan di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Pihak polis kemudian telah membuat siasatan lanjut dan kes menyayat hati itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Kepada kesemua ibu bapa, sentiasalah awasi pergerakan anak-anak anda. Kerana malang tidak berbau dan apa-apa sahaja boleh berlaku kepada anak kecil kita.
Semua ibu bapa pasti sayangkan anak-anak, tatanglah mereka bagaikan inyak yang penuh sehingga mereka dewasa kelak. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Ainaa Hafizah

