JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran stor penyimpanan barangan lusuh di Kawasan Perindustrian Saleng di Senai, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Rizal Buang berkata laporan siasatan dijangka siap dalam tempoh lebih kurang dua minggu.
“Setakat ini siasatan mendapati kesemua lapan blok di kawasan berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan, jadi, ia tidak mempunyai sebarang unsur-unsur kawalan keselamatan seperti pemadam api, langkah keselamatan kebakaran dan pili air,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata kebakaran tersebut berjaya dipadam sepenuhnya pada 4 pagi tadi selepas anggota bomba berusaha selama 11 jam mengawal kebakaran.
Beliau berkata pihaknya turut mendapat kerjasama daripada anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan penemuan bahan-bahan mercun yang juga terbakar dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Supt. Razak Md Said berkata sehingga kini, belum ada pihak yang tampil memberikan keterangan atau mengaku sebagai pemilik kilang berkenaan.
“Kita sedang menunggu laporan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi mengenal pasti status tanah dan bangunan kilang itu,” katanya. – BERNAMA