PROGRAM Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang akan berlangsung di sini sempena Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan akan menonjolkan pelbagai maklumat mengenai Felda yang kurang didedahkan sebelum ini.
Ia terutamanya penglibatan kaum bukan Melayu sebagai peneroka dalam tanah rancangan Felda di seluruh negara.
Pengarah publisiti karnival Eskpresi Felda Negaraku Malaysia Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata antara Felda yang mempunyai peneroka bukan Melayu ialah Felda Lurah Bilut di Pahang dan Felda Tun Ghafar di Melaka.
“Malah Felda di Sabah melibatkan banyak suku kaum. Ini merupakan antara perkara yang tidak begitu diketahui umum tentang Felda dan akan ditonjolkan sepanjang tiga hari penganjuran karnival ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat mengenai Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia mulai 21 hingga 23 Julai depan kepada editor media cetak dan elektronik di sini Selasa.
Akmar Hisham berkata antara aktiviti menarik sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung di hadapan Istana Kehakiman di sini ialah jualan murah, pameran dan jualan produk industri kecil dan sederhana, jualan trak makanan dan program ‘Meneroka Felda Bersama Upin dan Ipin’.
Jelas beliau, pengisian pada hari pertama karnival ialah pertandingan futsal melibatkan 54 kawasan Parlimen yang mempunyai tanah rancangan Felda, program Felda berselawat dan forum perdana bertajuk ‘Bakti Disemai, Bukti Dituai’ pada Jumaat, 21 Julai.
“Pada hari kedua karnival, aktiviti yang akan berlangsung ialah ‘fun run’ dan zumba, autoshow, program bicara Transformasi Nasional 2050 (TN50), pertandingan zapin dan dikir barat serta konsert Ekspresi Negaraku yang akan dijayakan oleh artis yang merupakan anak-anak Felda,” katanya lagi.
Jelas Akmar Hisham, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan karnival berkenaan pada hari ketiga selain menyampaikan anugerah keceriaan kampung Felda yang membawa hadiah wang tunai bernilai RM1 juta.
Tambahnya, seramai 25,000 warga peneroka dari seluruh negara akan hadir ke karnival berkenaan.
Selain itu, puluhan ribu anak-anak Felda yang berada di sekitar Lembah Klang serta lebih sejuta keluarga Felda yang berdaftar terdiri daripada anak, isteri dan cucu peneroka Felda dijemput untuk memeriahkan acara yang pertama kali diadakan di Putrajaya. – BERNAMA