JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan tiga individu dan menyelamatkan lima wanita asing yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di dua premis di bandar raya ini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah penjagaan warga emas dan sebuah rumah ejen pembekal pekerja asing kira-kira 6.30 petang itu melibatkan tiga pegawai dan 12 anggota JSJ Johor menerusi Ops Lebaran.
“Tiga yang ditahan ialah dua lelaki tempatan berusia 60-an yang merupakan pengurus pusat penjagaan warga emas dan penjaga rumah ejen pembekal warga asing serta seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata kesemua wanita yang diselamatkan itu pula berasal dari Indonesia dan berumur antara 28 dan 60 tahun.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit dieksploitasi oleh majikan mereka dengan bekerja antara dua bulan hingga 10 tahun tanpa dibayar gaji.
Katanya ketiga-tiga yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12 dan 13 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom), Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen manakala mangsa yang diselamatkan disiasat mengikut Seksyen 44 Atipsom.
“Matlamat utama Ops Lebaran ialah untuk membanteras, mengekang serta melumpuhkan kegiatan jenayah kekerasan, jenayah jalanan dan jenayah bersindiket yang melibatkan semua jenis elemen jenayah.
“Sehubungan itu, polis Johor akan terus membuat serbuan, pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan untuk membanteras dan membendung semua gejala tidak sihat yang mengganggu gugat ketenteraman awam negeri Johor khasnya dan menyakitkan mata hati masyarakat amnya,” katany. – BERNAMA