KUALA LUMPUR – Apa sudah jadi di Selangor apabila pihak asing dengan berani menjalankan aktiviti pengambilan pasir laut secara haram di perairan negeri itu?
Mujur kegiatan tersebut dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan mengambil tindakan pantan untuk mengelakkan hasil negara itu terus dikaut pihak asing.
Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, kegiatan itu dikesan pihaknya sewaktu sedang melakukan rondaan di perairan Klang.
“Bot Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal Xin Zhou 1 sedang dalam perjalanan masuk setelah melakukan aktiviti pengambilan pasir secara haram di perairan Klang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal itu didaftarkan di Kepulauan Palau dan terdapat sembilan warga China termasuk nakhoda berusia lingkungan 41 hingga 60 tahun bersama-sama pasir laut yang diambil secara haram.
“Seorang daripada krew kapal tersebut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abu Zaki berkata, kapal tersebut telah dibawa ke Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut dibawah Ordinan Perkapalan Saudara 1952 dan Akta Imigresen 1959/53.
“Maritim Malaysia akan meningkatkan pemantauan dan operasi di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai titik panas bagi menghalang jenayah itu terus berlaku,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

