SEGAMAT – Proses pengebumian jenazah kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang ditemukan mati di bilik sewa di sini, Ahad lepas akan diuruskan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Segamat.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata ini berikutan kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera itu tidak mempunyai anggota keluarga lain susulan ibu dan abangnya yang merupakan suspek utama kejadian itu ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Jenazah kanak-kanak itu kini berada di rumah mayat Hospital Segamat dan akan dituntut oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diserahkan kepada pihak Pejabat Agama Islam Daerah.
“Namun, jenazah hanya boleh dituntut selepas selesai proses pengecaman untuk kali kedua oleh ibu mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata jenazah kanak-kanak malang itu akan dikebumikan selepas kesemua prosedur tuntutan mayat mangsa selesai.
Katanya jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Berata di sini hari ini. – BERNAMA

