SEJAK semalam, foto tular yang memaparkan x-ray seorang bayi tertelan pin tudung di media sosial telah mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen.
Lapor Harian Metro, kejadian malang yang menimpa bayi berusia 10 bulan itu adalah benar dan ia berlaku pada Jumaat lalu.
Jurucakap Hospital Kuala Lumpur berkata mangsa telah dibedah semalam dan pin yang tersangkut di paru-parunya juga sudah dikeluarkan.
“Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini dilaporkan stabil dan masih dalam pemantauan doktor,” katanya.
Difahamkan kejadian berpunca apabila bayi berkenaan, Muhammad Naufal Hakim yang ketika itu didukung oleh ibunya telah menarik pin pada tudung wanita itu.
Lalu mangsa memasukkan objek itu ke dalam mulut sebelum ditelan. Kejadian menyebabkan Naufal mengalami luka dalaman yang agak serius berdasarkan maklumat di laman sosial.
Selain itu, gambar pin tudung sebesar kira-kira tiga sentimeter yang tersangkut di bahagian paru-paru kanak-kanak itu turut tersebar.
Ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil dinasihatkan berhati-hati dan tidak meletakkan barangan bersaiz kecil di lantai atau di tempat yang mudah dicapai bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku. –MYNEWSHUB.CC