KUANTAN – Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK) menanggung tunggakan cukai termasuk denda berjumlah RM124,740 dalam proses pajakan tanah di Mukim Ulu Lepar di sini, dari tahun 2009 hingga 2015.
Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 berkata tanah itu dipajak sejak tahun 2010 melalui satu perjanjian dan antara syarat pajakan ialah digunakan hanya untuk maksud pertanian.
“Semakan audit terhadap Dokumen Hak Milik Daftaran Komputer (DHDK) mendapati tiada maklumat mengenai pemajak. Perkara ini berlaku kerana PSK tiada mengemukakan Borang 15A bagi mengendors nama pemajak.
Lawatan audit ke tanah berkeluasan 404.69 hektar mendapati ia masih belum dibangunkan dan dipenuhi belukar,” kata laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dalam maklum balasnya pada 10 Mac lepas berkata PSK dalam tindakan untuk endorsan Borang 15A dan syarikat yang memajak bersetuju untuk membayar cukai bermula tahun 2011, berdasarkan perjanjian pada 14 Dis 2010. – BERNAMA