IPOH – Kira-kira 4,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Mesra Aidilfitri Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Perak yang berlangsung di Kompleks Sultan Nazrin Muizzudin Shah di sini, hari ini.
Program tahunan itu dijayakan bersama semua jabatan dan agensi di bawah KKMM negeri termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Penyiaran Malaysia dan Jabatan Penerangan.
Majlis bermula dari 10 pagi hingga 1 tengah hari turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, beberapa barisan Exco kerajaan negeri serta ketua jabatan.
Dua belas gerai menyediakan pelbagai jenis makanan termasuk Bernama yang menghidangkan menu lemang serta rendang ayam dan daging.
Sementara itu, Pengerusi program yang juga Pengarah Penerangan Negeri, Razali Kidam berkata penganjuran majlis itu dapat mengeratkan silaturahim dan kerjasama antara jabatan dan agensi di bawah KKMM.
“Seperti yang kita tahu, bulan Syawal ini banyak sekali jamuan hari raya…jadi kalau buat secara bersepadu dan setiap jabatan serta agensi menyediakan juadah masing-masing, ia menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut seorang tetamu Nita Abdul Hadi, 39, beliau menghadiri majlis rumah terbuka Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak setiap tahun tetapi kali ini ia lebih meriah kerana menggabungkan jabatan dan agensi di bawah kementerian yang sama.
Bagi M. Karthigeshan, 32, sambutan rumah terbuka seperti ini lambang permuafakatan rakyat di Malaysia kerana ia turut dihadiri tetamu yang berbeza agama dan bangsa.
“Ini istimewanya negara kita, tidak kira apa sambutan perayaan semua bangsa akan meraikannya kerana hidangan yang disediakan adalah untuk semua. Seperti saya yang tidak makan daging lembu tetapi ada makanan lain, begitu juga dengan perayaan lain pasti ada makanan halal untuk tetamu Islam,” katanya.
– BERNAMA