SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan 36 notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pada operasi bersepadu di daerah Seremban Selasa lepas.
Pengarahnya Dr. Zainudin Mohd Ali berkata 14 notis adalah di bawah Peraturan 8C(1) iaitu penjualan paket rokok di bawah Harga Minimum Rokok (RM10) dan dua notis di bawah Peraturan 9(1) iaitu penjualan rokok dalam paket yang telah dibuka (jualan sebatang-sebatang).
Lapan lagi notis dikeluarkan mengikut Peraturan 14(1) iaitu tidak mempamerkan tanda larangan penjualan tembakau kepada orang belum dewasa manakala 12 notis mengikut Peraturan 15(4A) iaitu tiada amaran kesihatan pada bungkusan rokok, katanya.
“Nilai keseluruhan kompaun ditawarkan dalam operasi kali ini berjumlah RM18,000 jika kesemua yang dikenakan notis memilih untuk membayar kompaun bagi mengelak daripada hadir ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya dalam operasi itu, sebanyak 2,826 paket rokok bernilai RM13,288 yang menyalahi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 telah dirampas.
Katanya sebanyak 14 premis terdiri daripada premis kekal dan premis tidak kekal telah diperiksa dalam operasi tersebut.
Operasi 11 jam bermula 2 petang (18 Julai) itu membabitkan 58 anggota penguat kuasa kesihatan.
Zainudin berkata sebanyak 1,532 notis kerana pelbagai kesalahan telah dikeluarkan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini di negeri ini.
Katanya pada tahun ini juga iaitu sehingga Jun lepas, seramai 734 orang telah membayar kompaun bernilai RM79,020. – BERNAMA
