SHAH ALAM – Dua pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan pendapatan perniagaan seperti yang dikehendaki Akta Cukai Pendapatan 1967.
Pengarah syarikat Mayo Surgical Supply, Nor Asyikeen Othman, 37, didenda RM5,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Beliau selaku Orang Kena Saman (OKS) gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan pendapatan atau kerugian larasan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2012 kepada Ketua Hasil Dalam Negeri Malaysia.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau boleh dihukum penjara bagi satu tempoh tidak lebih daripada setahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Pengarah Syarikat Algood Services, Yong Kee Eng, 47, mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan gagal menyimpan rekod yang mencukupi berkenaan pendapatan perniagaan bagi tahun taksiran 2010, 2011 dan 2012.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Majistret P.Sarulatha kemudian menetapkan 9 Ogos depan sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari LHDN, Ainil Farahin Ramli. – BERNAMA