ALOR SETAR – Malaysia yakin Perjanjian Iklim Paris 2015 tidak akan gagal sama sekali kerana banyak negara besar seperti China dan Kesatuan Eropah boleh mengambil peranan Amerika Syarikat yang menarik diri daripada menyertai perjanjian itu.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak 194 negara telah melahirkan keazaman tinggi agar perjanjian itu dipertahankan demi masa depan ekologi negara masing-masing berkenaan isu pemanasan global.
“Walaupun kita kecewa dengan keputusan Amerika Syarikat yang dahulunya menonjolkan diri kononnya mereka adalah jaguh mempertahankan isu-isu alam sekitar ini tetapi kita yakin perjanjian ini tidak akan terjejas tanpa mereka,” katanya kepada pemberita sewaktu melawat tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit di sini, hari ini.
Kelmarin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengundang kemarahan dan kritikan dunia apabila memutuskan bahawa negara itu tidak lagi menyertai perjanjian itu.
Menurutnya, dunia khuatir jika perjanjian itu gagal, ia akan memberi kesan yang buruk terhadap alam sekitar termasuk Malaysia apabila banyak kawasan rendah akan dinaiki air berikutan paras air laut yang terus meningkat.
Sementara itu Wan Junaidi berkata projek tebatan banjir itu dapat mengurangkan masalah banjir di daerah ini apabila projek bernilai hampir RM600 juta itu siap dalam tempoh dua tahun lagi.
“Projek ini juga dapat mengurangkan keluasan kawasan banjir sehingga 50 peratus dengan reka bentuk tahap perlindungan tempoh ulangan (ARI) 50 tahun serta kawasan padi seluas 9,000 hektar yang terjejas akibat banjir dijangka dapat dikurangkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta kerajaan negeri agak tidak membuat sebarang pembangunan di kawasan sejarah purba iaitu ‘Drop Stone’ di Tanjung Mali, Langkawi, kerana ia merupakan kesan sejarah yang tidak ternilai.
“Kawasan seluas 1,200 meter persegi ini jangan diganggu bagi membolehkan ia dijadikan kawasan ekopelancongan kerana nilai sejarah yang tinggi ini,” katanya.
Kawasan itu dianggarkan berusia lebih dua bilion tahun yang ketika itu dikatakan Langkawi adalah sebahagian dari kawasan Antartika yang terpisah menjadi sebuah pulau. – BERNAMA

