LABUAN – Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi Mejar Kamal Jufri Kamarulzaman yang menyambung legasi bapanya menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Labuan.
Kamal Jufri, 33, yang berpengalaman dalam TUDM selama 14 tahun merupakan seorang juru sensor senjata untuk No.18 Skuadron pesawat pejuang F 18 Hornet.
“Saya berminat menjadi tentera apabila melihat personaliti bapa saya yang beruniform kemas dan segak setiap kali dia pergi kerja.
“Selain itu, saya berminat kerana melihat ayah yang sering menerbangkan pesawat dan sejak daripada itu saya bertekad dan tanamkan cita-cita untuk menjadi juruterbang tentera,” kata beliau.
Kamal Jufri ditemui Bernama pada Hari Bersama Media bersempena sambutan Hari TUDM ke-59 bertemakan ‘Kuasa Udara, Tonggak Kedaulatan Negara’ di Pangkalan Udara Labuan baru-baru ini.
Beliau berkata bapanya, Mejar Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd. Othman tidak pernah memaksanya untuk menyertai TUDM.
“Ayah tidak pernah paksa saya menyertai TUDM malah minat untuk menyertai pasukan keselamatan negara datang sendiri,” katanya.
Ditanya sama ada wujud keinginan untuk membawa pesawat tempur bersama-sama bapanya, Kamal Jufri berkata polisi TUDM tidak membenarkan perkara itu dan atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Kamarulzaman berbangga apabila anaknya itu menyertai TUDM dan berkhidmat sebagai juruterbang pesawat tempur.
“Alhamdulillah, hasil didikan saya, dia (Kamal Jufri) telah berjaya apa yang diimpikan selama ini (menjadi juruterbang) menjadi kenyataan dan dia amat komited dalam TUDM.
“Daripada kecil lagi saya telah melatihnya untuk berdisplin malah dalam tentera disiplin amat penting kerana sebagai tentera kami memegang tanggungjawab besar pada negara dan bangsa,” katanya.
Kamarulzaman yang berkhidmat selama 37 tahun sebagai juruterbang TUDM berkata beliau telah membawa pesawat tempur selama 12 tahun antaranya A4-Skyhawk dan MiG-29. – BERNAMA

