KEBAKARAN besar di Menara Grenfell di Jalan Latimer dekat Notting Hill, barat London mencetuskan suasana panik kerana dikhuatiri ada penghuni terperangkap di kediaman mereka.
Dalam kejadian awal pagi Rabu, sekurang-kurangnya 200 anggota bomba dengan 40 jentera dikerahkan ke bangunan 24 tingkat yang menempatkan apartmen itu, lapor portal tempatan theguardian.com.
Pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan kira-kira pada pukul 1.15 pagi waktu tempatan (9.15 pagi waktu Malaysia).
Menurut bomba, kebakaran itu dipercayai mula tercetus di tingkat dua bangunan sebelum merebak ke tingkat atas.
Saksi kejadian turut mendengar jeritan meminta pertolongan daripada penghuni yang terperangkap dalam bangunan yang menempatkan 120 unit apartmen itu.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, dua orang terpaksa dirawat di lokasi kerana terhidu asap dan kawasan kejadian telah ditutup.
Katanya, penghuni di bangunan bersebelahan menara itu turut dipindahkan dan jalan masuk di Westway turut ditutup.
Sementara itu, pengacara program Amazing Spaces yang tinggal berdekatan lokasi kejadian berkata, dia sedang tidur pada waktu tersebut sebelum terdengar bunyi penggera amaran.
“Saya kemudiannya terus bangun dan berlari ke bawah menggunakan tangga. Mulanya saya sangka ia hanya penggera kereta sebelum ternampak cahaya kebakaran di luar bangunan.
“Saya sendiri diselubungi asap yang terhasil dari kebakaran itu. Saya berada pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian dan saya diselubungi asap,” katanya.
Banguan menara terbabit dibina pada 1970-an di mana ia merupakan sebahagian daripada projek pemaju hartanah Lancaster West. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=Ilhxjz45Zk0

