KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan tentang agenda sebenar pakatan pembangkang kitar semula dakwaan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, pembangkang terpaksa berbuat demikian kerana panik dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh Kabinet bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.
Jelas beliau, pakatan pembangkang menggunakan taktik lencongan itu bagi mengalih perhatian rakyat daripada skandal urus niaga mata wang asing tersebut kerana ia melibatkan ikon politik terkini mereka untuk menarik sokongan Melayu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Keputusan Kabinet untuk membentuk RCI bagi menyiasat kerugian `forex’ – ada yang mengatakan pembabitan wang rakyat bernilai sehingga RM100 bilion telah mewujudkan keadaan panik dalam kalangan pembangkang.
“Kita semua maklum mengenai dalang yang bertanggungjawab terhadap kerugian besar ini dan pembangkang berada dalam keadaan huru-hara kerana tidak mahu kehilangan Mahathir dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU14) akan datang.
“Mereka tahu jika kebenarannya diketahui umum, pembangkang dan kepimpinannya akan ditelanjangkan di khalayak ramai. Ini boleh membawa padah besar dalam pilihan raya nanti.
“Pembangkang tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk mengitar semula laporan DoJ yang bermotivasi politik untuk membangkitkan isu 1MDB yang telah selesai. Ini hanyalah taktik lencongan,” katanya dalam satu kenyatan media hari ini.
Pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan merupakan gabungan parti sekular dan liberal terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Annuar berkata, tindakan pakatan pembangkang menghebahkan semula dakwaan berhubung 1MDB dengan `bermodalkan’ kenyataan DoJ juga bertujuan mengalih tumpuan rakyat daripada krisis dalaman PPBM yang dipengerusikan oleh Mahathir.
Sehubungan itu beliau membidas pakatan pembangkang kerana mereka dan proksi mereka yang sebenarnya bertanggungjawab melibatkan campur tangan negara asing dalam negara ini apabila membuat dakwaan tentang 1MDB kepada DoJ Amerika Syarikat selama ini.
“Satu perbuatan khianat yang amat mengaibkan bagi memuaskan agenda politik demi kepentingan diri sendiri. Pembangkang cuba memanipulasi laporan DoJ untuk mengalih tumpuan daripada isu RCI dan krisis dalaman PPBM,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

