KUALA LUMPUR – Rata-rata pengguna perkhidmatan GrabCar atau Uber pasti akan berdepan dengan pelbagai kerenah pemandu.
Ditambah pula dengan pelbagai macam keadaan kereta yang mengambil mereka untuk menujuk ke destinasi pilihan.
Bayangkan kalau anda dijemput oleh pemandu yang tidak menghiraukan kebersihan selain juga kemudahan dalam kenderaan seperti penghawa dingin dan sistem audio.
Dengan kereta yang berbau tengik, pendingin hawa pula rosak dan suasana senyap sunyi kerana sistem audio rosak, pasti menjengkelkan sepanjang perjalanan.
Namun berbeza dengan seorang pemandu perkhidmatan itu yang menyediakan kemudahan dalam kenderaannya semata-mata untuk memberikan keselesaan kepada penumpang.
Abu Talib menyediakan minuman dan gula-gula secara percuma kepada penumpangnya. Apa yang menarik ialah minuman dan gula-gula berkenaan disusun rapi dan kemas dalam kenderaan miliknya.
Beberapa gambar susunan barangan yang dilihat berkonsepkan ‘mesra pelanggan’ itu juga menjadi tular menerusi media sosial dan dikongsikan oleh laman FB Persatuan Pengguna Alam Maya.
Malah, tindakan pemandu ini wajar dipuji kerana ia mencerminkan budaya yang bersih dan mesra yang wajar menjadi contoh. – MYNEWSHUB.CC