KUALA LUMPUR – Sikap toleransi amalan rakyat Malaysia sejak sekian lama sebenarnya menjadi benteng menjadikan negara kekal utuh dan tidak mudah tergugat dengan beberapa insiden terpencil yang berlaku kebelakangan ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata laporan media sosial berhubung kejadian dan isu perkauman sebenarnya tidak menggambarkan identiti rakyat Malaysia secara keseluruhan kerana majoriti rakyat negara ini cintakan keamanan dan kedamaian.
“Rakyat tidak harus mudah tergugat atau mudah dialihkan persepsi mereka kepada insiden-insiden yang tidak menggambarkan majoriti rakyat. Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang tersebar.
“Periksa dan analisis maklumat sebelum sebar dan pastikan ia betul-betul sahih terlebih dahulu. Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk sebarkan hanya maklumat yang bersifat positif bukannya negatif,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Patriotisme dan Toleransi Kaum di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
Asyraf Wajdi berkata dalam cabaran dunia tanpa sempadan, perkara asas yang harus diamalkan adalah mewujudkan nilai kecintaan, nilai patriotisme yang berlandaskan nilai keagamaan, hormat-menghormati dan pengiktirafan kepelbagaian kaum dan agama berteraskan toleransi.
Beliau berkata sungguhpun terdapat segelintir pihak cuba mengganggu gugat perpaduan dan toleransi antara kaum di negara ini, namun golongan itu tidak akan berjaya memenangi hati rakyat dengan cara sedemikian.
Katanya, penglibatan generasi muda merupakan pendekatan baru yang boleh digarap dalam menyampaikan mesej berkaitan patriotisme dan toleransi kerana mereka boleh menyuarakan pendapat bagi golongan muda. – BERNAMA