SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengalami kerugian kira-kira RM60,000 selepas bahagian hadapan rumahnya di Taman Sri Tambun, Tambun, Ipoh dan kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya terbakar akibat dibaling molotov cocktail petang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.04 petang itu, koperal berusia 43 tahun itu sedang bertugas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sebelum dimaklumkan isterinya mengenai kejadian.
Berita Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian hanya isteri dan anak mangsa berada di dalam rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati saksi yang juga jiran melihat empat lelaki menaiki dua motosikal membaling molotov cocktail ke arah kenderaan mangsa jenis Toyota Ipsum sebelum melarikan diri.
Jelasnya, suspek dilihat membaling dua molotov cocktail dari luar pintu pagar rumah dua tingkat yang disewa mangsa.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek dan kami memandang serius kejadian kediaman anggota yang diserang dengan bahan berbahaya.
“Anggaran kerugian dialami mangsa kira-kira RM60,000,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…