PORT DICKSON – Seekor penyu yang kudung kakinya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Port Dickson selepas tersangkut di muka pintu Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar di sini, semalam.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.19 tengah hari semalam dan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika sampai, kita mendapati penyu yang dipercayai spesis karah itu masih lagi berlegar-legar di dalam kawasan stesen itu sebelum tersangkut di muka pintu.
Penyu itu tersangkut pada bahagian luar jaring dan tidak dapat bergerak kerana ditolak arus deras dari perairan Selat Melaka. Seorang anggota bomba turun dari jambatan setinggi lima meter dengan menggunakan tali.

Dalam keadaan arus kuat itu, anggota berkenaan dengan menggunakan satu karung plastik berjaya menangkap penyu seberat kira-kira 60 kilogram itu.
“Kita merasakan penyu berkenaan masuk ke dalam kawasan stesen itu ketika air laut pasang dan pintu air (stesen) terbuka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan penyu berkenaan dan ia kemudiannya dilepaskan semula ke laut.
“Agak berat penyu ini dan kita terpaksa gunakan tali keselamatan untuk mengeluarkannya. Namun penyu itu tidak cedera,” kata Norazam. – BERNAMA

