TAIPING – Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Johan, Trong maut manakala rakannya cedera apabila motosikal yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 70.8 Jalan Sitiawan-Taiping berhampiran persimpangan Kampung Sungai Lubok, Trong petang tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata dalam kejadian 3.35 petang tadi, Izzhanif Danny Abd Rahman, 13, dari Kampung Salak Baru maut di tempat kejadian manakala rakannya yang menunggang motosikal, Thaqifshah Samsudin, 16, cedera ringan.
Beliau berkata Izzhanif Danny maut akibat cedera parah di kepala selepas digilis lori dan rakannya hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Taiping.
Katanya semasa kejadian kedua-dua mangsa menaiki motosikal dari arah Beruas menghala ke Taiping sebelum dipercayai lori berkenaan yang juga dari arah yang sama, bergesel dengan kenderaan mangsa.
“Siasatan mendapati tayar belakang sebelah kiri lori itu bergesel dengan motosikal berkenaan mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah di kepala manakala penunggang motosikal cedera dan dirawat di Hospital Taiping,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Harrith Kam berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

