PEKAN – Lebih 60 nelayan di sekitar Kuala Pahang dan Pasir Panjang di sini, merayu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap perbuatan nelayan asing yang didakwa menceroboh dan menggunakan pukat tunda di perairan negara.
Mereka berkata tindakan itu bukan sahaja menjejaskan mata pencarian mereka, tetapi lebih teruk lagi penggunaan pukat tunda menyebabkan peralatan menangkap ikan mereka rosak teruk dan memerlukan kos untuk dibaiki.
Wakil kumpulan nelayan, Rosli Ahmad, 44, berkata pihak berkuasa dimohon memberi perhatian serius kepada aduan mereka, yang rata-rata semakin resah memikirkan punca pendapatan mereka terlalu kerap diancam.
“Nelayan sudah mengalami kerugian besar akibat pencerobohan nelayan asing. Jika keadaan ini berlarutan, ia memang amat menganggu perjalanan hidup kami untuk menanggung keluarga terutama mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah.
“Saya sebagai wakil kepada rakan-rakan nelayan memohon supaya pihak berkenaan mengambil tindakan segera supaya kami tidak berterusan ditindas,” katanya kepada Bernama selepas membuat laporan polis berkaitan pencerobohan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini, semalam.
Sementara itu, Mohamad Isa Abdul Mubin, 43, yang merupakan nelayan di Kampung Pasir Panjang berkata beliau merayu penguatkuasaan yang lebih kerap dilakukan bagi menghalang kemasukan bot nelayan pukat tunda dan pukat sotong milik nelayan asing.
Selain itu, beliau juga mahu pemantauan dilakukan kepada bot nelayan laut dalam tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding (twin troller) di sepanjang perairan pantai timur.
“Semua nelayan di sini amat berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas bot pukat tunda terbabit kerana kejadian ini dimaklumkan telah berlarutan sejak tahun 2009.
“Mereka ini bukan sahaja menceroboh kawasan perairan tempat kami mencari rezeki, tetapi ada masanya kehadiran mereka mengancam keselamatan nelayan tempatan,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Zuhari Samat, 48, berkata terdapat bot nelayan tempatan yang dipercayai dari kawasan luar menghampiri kawasan pantai di sini dan kehadiran mereka memusnahkan bubu milik nelayan di sini.
“Hampir setiap hari ada sahaja bubu nelayan yang musnah dan hilang, ada yang hilang lebih daripada 10 bubu dalam tempoh sehari. Nilai bubu pula bukan murah, iaitu antara RM250 hingga RM400 mengikut saiz,” katanya. – BERNAMA

