ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor bertekad untuk membantu kerajaan pusat dan semua pihak dalam menjayakan aspirasi pendidikan berkualiti untuk rakyat.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sehingga kini terdapat tiga inisiatif dan langkah intervensi yang telah dan sedang dilaksanakan di peringkat negeri Johor.
“Pertama, membudayakan minat Sains, Matematik dan Teknologi (STEM), kita memperuntukkan sebanyak RM600,000 dengan merangka pelbagai program yang berkaitan.
Kedua, melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) pula, kita memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi pelbagai program memperkasakan Bahasa Inggeris selari dengan bahasa kebangsaaan,” katanya berucap pada pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Pelancaran program berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mohamed Khaled berkata langkah ketiga adalah meneruskan inisiatif pembangunan ekosistem pendidikan abad ke-21 dalam sekolah-sekolah di negeri ini.
Beliau berkata untuk tujuan berkenaan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi menjayakannya.
Menurut Mohamed Khaled, ketiga-tiga inisiatif itu dilakukan atas kesedaran betapa kebolehsaingan Malaysia berada pada persimpangan yang genting dan ini adalah sebahagian daripada sumbangan Johor untuk Malaysia.
Beliau berkata, sekolah yang tidak menyemai kemahiran termaju, pemikiran kreatif, keupayaan mengurus kepelbagaian serta membangunkan kelincahan intelektual, tidak akan membolehkan Malaysia memimpin dan mendahului persaingan global.
Ini merupakan langkah penting yang perlu diambil supaya Malaysia terus menjadi antara negara paling membangun dan kompetitif serta memiliki modal insan yang boleh bersaing di arena global, katanya.
“Cabaran utama Malaysia ialah menyediakan pendidikan bermutu, setara dengan pendidikan terbaik global. Bagi saya, akses kepada pendidikan sudah universal di Malaysia dan berada dalam kedudukan hampir terbaik meskipun masih ada kes-kes terpencil, rata-ratanya anak-anak kita tidak tercicir atau tertinggal dari menerima pendidikan,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled, beliau sedar bahawa Kementerian Pendidikan sangat berusaha keras dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti.
Katanya, kerajaan negeri tidak hanya boleh pandai meminta dan menuntut pendidikan yang berkualiti sebaliknya akan turut serta berusaha memberikan kerjasama, sokongan dan mengambil inisiatif untuk bersama-sama menjayakan pendidikan berkualiti. – BERNAMA

