Monday, April 29, 2024

Creating liberating content

SYABAS Aktifkan PKS Bantu...

KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) mengaktifkan sembilan lokasi...

KRU Feri Jatuh Ke...

KUALA PERLIS - Kru feri yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut pada...

Dua Beradik Perempuan Maut...

KLANG - Dua beradik termasuk seorang yang juga orang kelainan upaya (OKU) maut...

Empat Kapal Teroka Dasar...

KUALA LUMPUR - Tiga kapal digunakan untuk meneroka dasar kawasan terpencil di Lautan...

Kemajuan Ekonomi Bumiputera Hasil Dasar Telus

KUALA LUMPUR – Kemajuan ekonomi Bumiputera yang dicapai Malaysia pada hari ini adalah hasil pelaksanaan dasar dan strategi yang lebih telus, terbuka serta seimbang oleh kerajaan yang ditunjangi UMNO sejak kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu berkata pendekatan yang dibawa oleh pemimpin sekarang mementingkan persaingan dan prestasi, bukan lagi teori ‘limpahan’ atau kronisme.

Menurutnya, model ekonomi sebelum ini yang dibawa ke Malaysia adalah daripada konsep Korea Selatan dikenali ‘chaebol’ iaitu korporat yang dimiliki dan dikawal oleh ahli keluarga serta kroni yang dikatakan menjadi penggerak ekonomi Korea Selatan.

“Di bawah konsep penswastaan, individu kaya atau tokoh-tokoh korporat diberi kekuatan ekonomi untuk menerajui ekonomi negara melalui teori limpahan ini. Jika dilihat kembali, fokus teori ini hanya terhad kepada pembangunan Kuala Lumpur sebagai sebuah metropolis dan segala kemewahan yang dihasilkan hanya melimpah ke kawasan berdekatan.

“Sebab itulah apabila kepimpinan beralih kepada Tun Abdullah, beliau kembali kepada pembangunan seimbang yang dibawa oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang melaksanakan pembangunan di wilayah-wilayah, bandar-bandar serta ibu-ibu negeri di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata dasar ekonomi Tun Abdul Razak itu diteruskan pula oleh Najib yang bukan setakat mahu memastikan kemajuan semua wilayah, malah mahu melihat kejayaan usahawan dan peniaga Melayu dan Bumiputera terus dilonjak ke tahap lebih baik atas usaha dan kerja keras sendiri.

“Sekarang tidak lagi timbul tuduhan dan isu kronisme…jika saya bertanya mana-mana individu hari ini ‘siapakah kroni Datuk Seri Najib,’ mereka akan mengambil masa (lama) untuk menjawab. Ini bermakna kepimpinan ini jelas dan berjaya ke hadapan berdasarkan acuan tersendiri tanpa mengikut telunjuk mana-mana negara asing,” katanya.

Shahrir berkata, antara bukti kemajuan ekonomi masyarakat Melayu dan Islam yang kian meningkat di negara ini ialah menerusi hasil sumbangan kepada masjid-masjid pada hari Jumaat di seluruh negeri yang semakin bertambah nilainya.

“Jika lima tahun lepas, nilai sumbangan hari Jumaat sebanyak RM900, tetapi kini ia boleh mencecah RM5,000 hingga RM10,000 seperti di kawasan Johor Bahru.

“Selain itu, jumlah pembayaran zakat turut meningkat di setiap negeri. Di Johor misalnya, saya dimaklumkan lima tahun dulu jumlahnya dalam lingkungan RM80 juta namun kini mencapai RM220 juta hingga RM250 juta dari tahun ke tahun.

“Senarai menunggu orang Melayu yang mahu menunaikan ibadah haji juga meningkat dari tahun ke tahun iaitu melebihi 30,000 orang setiap tahun. Itu belum lagi senarai mereka yang mengerjakan umrah iaitu mencecah ratusan ribu orang setiap tahun.

“Itu merupakan indeks atau indikator ekonomi yang jelas menunjukkan bahawa ekonomi Melayu yang diketuai UMNO dalam kerajaan hari ini adalah amat berbeza berbanding dulu kerana perkara-perkara ini dilaksanakan atas dasar kemampuan dan keikhlasan, bukannya sesuatu yang wajib jika tidak mampu,” katanya.


Beliau turut menyentuh perkembangan ekonomi Islam yang semakin maju seperti kewangan dan perbankan Islam, insurans takaful, fesyen Muslimah, makanan halal serta perkhidmatan lain berasaskan patuh Syariah yang terus mendapat sambutan serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.

Malah, kejayaan segmen-segmen tersebut turut diketengah secara dalam talian, sekaligus memberi pendedahan kepada para usahawan mengenai kehendak pasaran, pengetahuan, pembungkusan, logistik, pemasaran serta aspek dasar serta strategi tertentu yang perlu dimiliki untuk terus maju.

“Kerajaan di bawah pimpinan Najib juga memberi fokus dalam membangunkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan ke peringkat seterusnya iaitu kumpulan M40 (berpendapatan 40 peratus sederhana) dan Malaysia adalah satu-satunya negara dengan konsep ini.

“Kita turut membawa pengasas (platform) e-dagang AliBaba, Jack Ma dalam pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital pertama di negara ini kerana kita memahami hakikat bahawa dunia digital ialah satu bidang yang boleh membawa manfaat jika dilihat dari sudut pandangan yang positif,” jelasnya.

Ditanya mengenai cabaran terbesar masa hadapan masyarakat Melayu, Shahrir menyentuh sikap orang Melayu yang enggan mengakui atau menerima hakikat kejayaan kerajaan pimpinan hari ini malah menggunakan media sosial untuk menghakis kepercayaan rakyat serta menimbulkan keraguan terhadap pencapaian ekonomi negara pada masa ini.

Tegasnya, adalah sukar untuk bergerak maju jika terus berfikiran negatif serta enggan menerima perubahan positif yang dibawa kerajaan menerusi pelbagai inisiatif untuk semua golongan rakyat termasuk kalangan bukan Bumiputera.

“Sebenarnya ramai anak-anak Melayu, anak-anak Malaysia yang terlibat dalam dunia digital telah berjaya dalam perniagaan masing-masing kerana berniaga secara dalam talian ini tidak memerlukan kos yang banyak,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrir berharap perkara baik sedemikian yang harus dikejar oleh rakyat dan bukannya momokan, hasutan dan cakap-cakap politik yang boleh merugikan diri sendiri.

“Untuk terus maju, kita perlu pertingkatkan tadbir urus dan kepimpinan organisasi-organisasi yang menggerakkan modal Bumiputera termasuk Pemodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Khazanah Nasional.

“Selain itu, saya berharap dalam masa 20-30 tahun akan datang, ahli-ahli politik di negara ini akan lebih matang membahaskan isu-isu yang boleh menambahbaik kesejahteraan rakyat dan bukannya isu-isu yang tidak perlu,” katanya. – BERNAMA

Kategori