KUALA TERENGGANU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu akan terus memperketatkan sistem kawalan keselamatan di lapangan terbang bagi mencegah kemasukan barangan terlarang ke negari ini menerusi laluan udara.
Pengarahnya, Aidid Tajuddin berkata tumpuan diberikan kepada beberapa aspek termasuk melakukan pemerhatian risikan serta pemeriksaan fizikal yang lebih teliti terhadap penumpang yang mencurigakan.
Pihaknya juga akan menempatkan anggota berpakaian preman dan anggota berpakaian taktikal khas yang lengkap bersenjata berhampiran mesin pengimbas.
“Langkah yang kita laksanakan ini bagi membasmi kegiatan penyeludupan barangan terlarang termasuk dadah menerusi lapangan terbang domestik seperti mana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agak sukar melakukan perkara itu kerana kawalan yang ketat.
“Kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan dengan menggunakan pintu lain khususnya lapangan terbang negeri yang ada untuk membawa barangan seludup ini ke dalam negara,”katanya kepada Bernama.
Inisiatif tersebut merupakan langkah susulan selepas pihaknya berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 10 kilogram bernilai kira-kira RM700,000 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Sabtu lalu.
Ia hasil penahanan seorang lelaki warga India, berusia 37 tahun kira-kira pukul 8.55 pagi yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorok dadah berkenaan dalam ruangan khas dalam bagasi di sebalik timbunan 29 pasang kain sari.
Aidid berkata walaupun kes penyeludupan agak terpencil di negeri ini namun pihaknya telah mengambil tindakan dengan melakukan pelbagai persiapan awal.
“Kita bukan hendak menakutkan-nakutkan orang ramai namun pendekatan yang kita lakukan bagi memberi kesedaran dan ia sebagai amaran bahawa bukan mudah untuk membolosi kawalan keselamatan.
“Mungkin sebelum ini mereka menyangka kita memfokuskan laluan darat sahaja dan mengambil kesempatan dengan menggunakan laluan udara…sebenarnya penguatkuasaan telah lama dilaksanakan namun kita hanya menambah beberapa pembaharuan,” katanya. – BERNAMA

