KOTA ISKANDAR – Kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal bagi mengguna pakai kaedah insinerator ‘waste to wealth’ bagi melupuskan sampah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata kaedah itu dijangka dapat menangani isu kekurangan tapak pelupusan dan pembuangan sisa pepejal yang membelenggu Johor ketika ini.
Beliau berkata terdapat dua syarikat luar negara sudah menyatakan minat untuk memperkenalkan kaedah itu.
“Sebuah daripada syarikat itu berpangkalan di China dengan mereka boleh menghasilkan bekalan elektrik menerusi sisa pepejal. Bekalan itu kemudian boleh dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Sebuah lagi merupakan syarikat Jerman yang berkemampuan menukar sisa pepejal kepada bahan bakar dan ia sudah mempunyai projek di Sabah,” katanya dalam satu sidang media.
Md Jais menggulas lanjut rancangan jangka panjang kerajaan negeri dalam menangani isu pembuangan serta tapak pelupusan yang dibangkitkan Lau Chin Hoon (BN-Pemanis) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Beliau berkata jika cadangan penggunaan insinerator itu dipersetujui jabatan tersebut, maka kerajaan negeri tidak perlu lagi mewujudkan lagi tapak pelupusan sampah sanitari.
“Sekarang terdapat isu untuk membangunkan tapak sanitari i Bukit Payung, Batu Pahat kerana penduduk tidak bersetuju tanahnya diambil berikutan bimbang hasil pemprosesan sisa pepejal disalurkan terus ke dalam parit.
“Selain itu ia terlalu dekat dengan kampung mereka. Sebab itu jika kaedah insinerator sesuai, maka tidak payahlah kita terus membuat tapak sanitari,” katanya. – BERNAMA