DUA warga Turki yang berjaya ditahan oleh pasukan polis Selasa lalu dipercayai ada kaitan dengan Militan Negara Islam (Daesh).
Perkara tersebut disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dalam satu majlis di Putrajaya, hari ini.
mStar Online melaporkan, Turgay Karaman dan Ihsan Aslan ditahan Bahagian Anti Keganasan dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia di sebuah kawasan parkir di Damansara Height, petang Selasa.
Menurutnya, polis telah memantau komunikasi dua individu itu dan mempunyai sebab untuk menahan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) untuk siasatan lanjut.
“Unit anti-keganasan di bawah cawangan khas polis telah mengekori rapat pergerakan beberapa individu yang terlibat dalam menyebarkan pengaruh dan pembiayaan aktiviti berkaitan dengan Daesh. Ini termasuk dua warga Turki,” katanya.
Beliau bagaimanapun, memberi jaminan kepada ahli keluarga Karaman dan Aslan bahawa mereka akan dibebaskan sekiranya siasatan mendapati tidak ada bukti penglibatan mereka dalam aktiviti keganasan.
“Kita perlu menghormati maklumat yang dikumpul oleh pihak polis. Mereka membuat beberapa penemuan berdasarkan komunikasi yang dibuat oleh individu-individu ini,” katanya.
Baca: Warga Turki ‘Diculik’ Kini Dalam Tahanan Polis
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Karaman dan Ihsan Aslan ditangkap berkaitan aktiviti yang mengancam keselamatan Malaysia di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.
Karaman, yang dipercayai seorang pengetua di sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh, sepatutnya memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan pada 3 dan 4 Mei. – MYNEWSHUB.CC

