KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 pemilik bangunan di ibu negara diberi tempoh antara enam dan 12 bulan untuk menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) atau bakal berdepan tindakan pembatalan sijil perakuan bomba (FC).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata pemilik bangunan diberi masa secukupnya untuk menubuhkan ERT selepas mereka menerima FC dan jika mereka gagal berbuat demikian arahan untuk menutup bangunan masing-masing boleh dibuat.
“Setakat ini hanya 483 daripada keseluruhan 783 pemilik bangunan yang memiliki FC sudah mempunyai ERT di premis masing-masing.
“Kami menerima respon yang positif daripada pemilik bangunan untuk menubuhkan ERT…melalui latihan dan bimbingan anggota ERT ini nyata dapat bertindak dalam situasi kecemasan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sementara itu, Khirudin berkata di ibu negara terdapat 983 pegawai dan anggota bomba serta dibantu sembilan pasukan bomba sukarela yang terdiri daripada kira-kira 150 anggota yang bersedia memberi bantuan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Buat masa ini bilangan itu (anggota dan pegawai) mencukupi dalam memberi respon ketika berlaku kecemasan,” katanya. – BERNAMA