SHAH ALAM – Ibarat sudah dijangka awal, Datuk Seri Azmin Ali tidak berani ‘goncang’ kedudukan PAS di Selangor sama ada pecat Exco atau singkir wakil parti itu daripada pentadbiran negeri.
Keputusan dramatik tersebut diumumkan Menteri Besar itu meskipun tahaluf siyasi atau hubungan kerjasama politik PAS dan PKR sudah muktamad putus apatah lagi parti Islam berkenaan bukan pun ahli Pakatan Harapan.
Ini kerana sokongan PAS merupakan ‘talian hayat’ Azmin yang sebelum ini tidak disokong PKR dan DAP untuk jadi Menteri Besar setelah Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dan Sultan Selangor pula tidak berkenan dengan calon lain.
Paling malang dalam episod ini adalah Parti Amanah Negara (PAN) yang terlepas peluang keemasan untuk ‘masuk’ dalam pertadbiran negeri sama ada dilantik sebagai Exco atau ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Selangor.
PAN yang berada dalam gabungan Pakatan Harapan diketuai DAP setelah Pakatan Rakyat dibubarkan, nampaknya macam nasib ‘Pak kadok, menang sorak kampung tergadai’ apabila Azmin lebih mengutamakan PAS ketika ini.
Menurut Azmin, mandat kerjasama PKR-PAS di Selangor konon akan diteruskan seperti biasa sehingga pilihan raya umum akan datang demi mengekalkan komposisi pentadbiran kerajaan negeri itu yang ibarat retak menanti belah!
Jelas beliau, tiada perubahan dalam kabinet kerajaan Selangor akan dibuat sehingga penggal berakhir kelak dan mendakwa kerajaan pimpinan beliau konon terbentuk berdasarkan sokongan majoriti ahli dewan, bukan kepartian.
“Jadi kita ada 43 DUN dibentuk hasil sokongan mandat rakyat. Its my duty (ini tugas saya) jaga amanah diberi rakyat dan bukan saya yang buat pilihan. Dalam penggal ini rakyat pilih kita untuk bekerja, bukan bergaduh.
“Jadi bila rakyat suruh kita kerja, kita mesti tunduk. Bekerja untuk rakyat,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di SACC Convention Centre semalam.
Beliau yang tertekan dengan keputusan Muktamar PAS baru-baru ini sebelum itu memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri berkenaan akan kekal stabil dan utuh demi kesejahteraan rakyat negeri tersebut.
“Kita ‘persetankan’ yang mabuk mencari publisti dan populariti murahan, mana-mana pihak temasuk individu atau kumpulan, yang cuba mengkhianati amanah ini dan akan kita perangi habis-habisan dalam negeri Selangor.
“Kita akan terus fokus galas amanah ini, demi beri perkhidmatan terbaik,” kata Azmin. Kenyataan itu mungkin merujuk usaha beberapa wakil PAS, PKR dan DAP yang dilaporkan cuba berunding untuk bentuk gabungan baharu.
PAN sebelum ini mendesak Azmin menyingkirkan PAS daripada pertadbiran Selangor dan ia turut disokong DAP yang diketahui ‘tidak baik’ dengan PAS sehingga membubarkan Pakatan Rakyat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

