KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan rakyat negeri lain termasuk Sabah berpindah ke negeri itu kerana mendakwa terdapat pelbagai kemakmuran untuk dinikmati mereka di Selangor.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi contoh terdapat kira-kira 12,000 orang Sabah sedang bekerja atau belajar di Selangor membuktikan status Selangor sebagai negeri tumpuan di Malaysia.
“Orang ramai dari negeri lain datang untuk mencari kemakmuran dan kebahagian di Selangor. Selangor mengalu-alukan semua. Rakyat Sabah boleh menikmati air percuma, rumah mampu milik, rawatan kesihatan bersubsidi, pinjaman perniagaan tanpa faedah dan biasiswa di Selangor.
“Selangor mahu memulangkan kekayaan kepada orang ramai. Faedah ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia tertakluk kepada kriteria ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan bersempena Pesta Menuai di Sabah.
Mohamed Azmin berkata, kemakmuran seperti di Selangor hanya boleh direalisasikan oleh kerajaan yang bersih, bertanggungjawab dan telus.
Selangor sememangnya diketahui sebuah negeri industri yang pesat dengan pembangunan dan pelaburan hasil kebijaksanaan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) zaman berzaman sebelum ia diwarisi PKR yang memenangi Selangor pada Pilihan Raya Umum 2013. – MYNEWSHUB.CC
