ALOR SETAR – Tiga daripada lima sekeluarga yang melecur dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Derga Jaya di sini awal pagi semalam masih tidak sedar, kata Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail.
Beliau berkata Norfadilah Zammir Gul, 43, dan dua anaknya iaitu Nor Erra Liyana Abdul Razak , 22, dan Muhammad Erel Raffiq, 5, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah.
“Norfadilah melecur 21 peratus pada tubuh dan mengalami masalah pernafasan akibat terhidu asap dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Nor Erra Liyana pula tubuhnya terbakar 32 peratus serta Muhammad Erel Raffiq berada dalam keadaan kritikal dan masih menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Norhizan berkata suami Norfadilah, Abdul Razak Jusoh, 49, dan seorang lagi anak mereka Nor Eika Nabilah, 18, semakin pulih dan menunjukkan perkembangan positif.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi semalam, banglo setingkat itu musnah terbakar dipercayai akibat litar pintas, menyebabkan lima sekeluarga melecur dengan empat daripada mereka kritikal. – BERNAMA

